Monday, February 7, 2011

TEORI PEMBELAJARAN PENEMUAN ( DISCOVERY LEARNING )

PENGENALAN

            Teori penemuan pembelajaran ini diperkenalkan oleh Jerome Bruner.  Teori Bruner ini mementingkan pembelajaran melalui penemuan bebas berpandu atau latihan penyiasatan.  Teori Bruner mempunyai ciri khas dan berbeza dengan teori pembelajaran yang lain iaitu berkaitan tentang “Discovery Learning” iaitu belajar melalui penemuan atau dengan menemukan konsep sendiri. Bruner berpendapat  pembelajaran melalui penemuan sesuai dengan pencarian pengetahuan secara  aktif oleh manusia, dan dengan sendirinya memberikan hasil yang paling baik. Pembelajaran jenis ini menggalakkan murid-murid ini menggunakan intuisi, imaginasi dan kreativiti secara aktif.  Contohnya dalam matapelajaran Sains, guru memberi contoh-contoh mamalia, kemudian meminta murid-murid menyatakan ciri-ciri mamalia berdasarkan contoh yang diberi tadi.

Bruner mementingkan aspek-aspek berikut dalam teori pembelajaran beliau.

 Aspek tersebut ialah:

·         Cara manusia berinteraksi dengan persekitaran dan pengalamannya. 
·          Perkembangan mental manusia dan pemikiran semasa proses pembelajaran. 
·         Pemikiran secara logikal. 
·         Penggunaan istilah untuk memahami susunan struktur pengetahuan . 
·          Pemikiran analisis dan intuitif. 
·          Pembelajaran induktif untuk menguasai konsep/kategori. 
·          Pemikiran metakognitif iaitu pemikiran mengenai pemikiran.

 

Ciri-Ciri Penting Pembelajaran Bagi Teori Bruner Ialah : 
1-Persekitaran untuk belajar
Pengajaran hendaklah berkaitan dengan pengalaman dan konteks kanak-kanak supaya kanak-kanak berasa ingin dan sanggup belajar semasa masuk sekolah.   Pengajaran selanjutnya bergantung kepada cara membangkitkan minat di kalangan murid.  Semua kanak-kanak memiliki mekanisme dalaman untuk ingin belajar.  Oleh itu, guru mesti menggalakkan mereka melalui pembelajaran penerokaan.   Selain itu faktor-faktor persekitaran seperti kebudayaan, motivasi dan prsonaliti mmepengaruhi keinginan kanak-kanak untuk belajar. Di sekolah pula guru perlu mewujudkan situasi pengajaran yang relevan dengan pengalaman dan minat pelajar. Guru perlu menyediakan aktiviti-aktiviti yang menggalakkkan pembelajaran penemuan dan memberi arahan yang berstruktur tanpa menyelesaikan masalah untuk pelajar.


2- Struktur pengetahuan

Merupakan satu kelompok pengetahuan hendaklah dibahagikan mengikut susunan yang mana dipelajari, dengan cepat. Bruner menyatakan bahawa proses pembelajaran lebih bermakna jika pelajar memahami struktur sesuatu isi pelajaran. Beliau mencadangkan pelajar membuat sistem mengkod,  iaitu menyusun konsep-konsep yang berkaitan secara hierarki.  Sistem pengkodan yang baik diperlukan supaya ransangan yang tertentu boleh dimasukkan dalam kategori-kategori yang sewajarnya.  Jika sistem pengkodan ini disusun secara teratur, pelajar dapat memahami ransangan dengan lebih baik. Bruner menyarankan supaya guru menyusun bahan pengajaran dalam cara yang dapat diterima oleh pelajar mengikut tahap kebolehan dan pengalaman mereka.  Hubungkaitan yang wujud antara idea-idea yang penting dalam sesuatu mata pelajaran boleh dihuraikan dalam bentuk gambar rajah, prinsip atau rumusan. Guru mesti terangkan konsep alam bentuk perwakilan konkrit, iaitu pelajar dapat melihatnya secara visual dalam bentuk grafik dan gambar. Guru juga perlu menentukan jumlah maklumat yang boleh disampaikan kepada pelajar untuk diproses dan disimpan. Konsep ini dipanggil ekonomi pembelajaran.

3- Urutan 

Bahan pengajaran hendaklah disusun mengikut urutan yang cekap untuk disampaikan dalam pengajaran supaya pelajar memahaminya dengan berkesan.  Buner menamainya sebagai urutan optimum. Urutan ini mesti mengambil kira kebolehan pelajar untuk memproses maklumat dan dapat mengekalkan minat pelajar dalam pembelajaran. Pelajar belajar mengikut urutan tertentu, iaitu :

a. Pesanan tanpa bahasa
b. Respon anggota badan
c. Gambaran dan lakaran
d. Bahasa


4- Peneguhan
Guru mesti memberi maklum balas terhadap prestasi dan kemajuan pelajar, an masa peneguhan diberikan juga sangat penting. Jika peneguahan diberikan terlalu awal, pelajar akan menjadi keliru. Jika peneguhan diberikan terlalu lewat, pelajar tidak berminat lagi dengan maklum balas tersebut. Bruner juga mementingkan motivasi intrinsic kerana inginkan supaya pelajar menyelesaikan masalah sendiri dengan bimbingan yang diberikan oleh guru.


Peringkat Pembelajaran Dalam Teori Bruner
 

Mengikut teori perkembangan kognitif Bruner,  peringkat pembelajaran berubah dalam tiga turutan iaitu enaktif, ikonik dan simbolik.

Peringkat enaktif berlaku pada usia 0-2 tahun.
Peringkat enaktif ialah pembelajaran melalui tindakan manipulatif kerana ia belum lagi melibatkan bahasa. Kanak-kanak dalam lingkungan umur ini menggunakan anggota deria untuk menyelesaikan masalah. Bahan maujud perlu dipegang dan dipergunakan untuk memperolehi pengertian. Misalnya, kanak-kanak kecil menyentuh api untuk mengetahuinya boleh panas an melecurkan ; melontarkan bola untuk mengetahuinya boleh melambung dan berguling.

Peringkat ikonik berlaku pada usia 2-4 tahun.
Pada peringkat ini digunakan untuk kanak-kanak yang lebih tua iaitu pembelajaran mencapai peringat sanggup membentukkan penanggapan (persepsi) dan membina gambaran dalam mental. Mereka mempunyai kebolehan mental untuk menggambarkan dan membayangkan sesuatu dalam fikiran dan menyimpan imej dalam fikiran mereka. Contohnya, kanak-kanak boleh melukis gambar sudu tanpa melihat sudu, kerana dia melukis gambar berdasarkan bayangan atau imej yang disimpan dalam otaknya. Kanak-kanak pada usia ini juga dapat membentuk penanggapan dan membina gambaran mental. Contoh, walaupun tanpa menyentuh bahan tajam seperti pisau, kanak-kanak tersebut sudah tahu bahan itu boleh melukakan tangan jika terkenanya.



Pemikiran peringkat simbolik ialah pada usia 5-7 tahun.
 Pada peringkat ini, kanak-kanak boleh memindahkan pengalaman mereka ke dalam bentuk bahasa. Mereka dapat berfikir secara abstrak dan membuat penaakulan logik. Dalam peringkat pembelajaran simbolik, simbol seperti perkataan, bahasa dan formula dapat digunakan untuk mempersembahkan pengalaman dan menghuraikan penaakulan abstrak. Oleh kerana pembelajaran kanak-kanak berkembang dari peringkat motor-sensori (enaktif) ke peringkat penanggapan konkrit (ikonik), akhirnya ke idea sbstrak (simbolik), maka turutan pengajaran haruslah berkembang sedemikian. Maksudnya, pengajaran dirancangkan untuk mendedahkan kanak-kanak memperolehi pengalaman pada permulaan, kemudian bertindak balas dengan penyampaian konkrit, dan akhirnya persembahan dalam bentuk simbol. Ketiga-tiga proses ini saling berkaitan dan membantu kanak-kanak untuk menyelesaikan masalah. Satu contoh situasi pembelajaran mengikut urutan ini adalah seperti berikut :

Enaktif - Kemahiran berbasikal
Ikonik - Membayangkan cara berbasikal dengan baik
Konkrit - Dapat menceritakan pengalaman berbasikal dalam bentuk
bahasa kepada rakan sebaya.

No comments:

Post a Comment