Monday, February 28, 2011

SENI HALUS ( TENUNAN SONGKET )

1.0 Pengenalan
            Tenunan merupakan seni tekstil yang terkenal di Malaysia. Hasil tenunan Malaysia yang pelbagai, halus dan tinggi mutunya mencerminkan dan kemahiran pandai tukang tempatan dalam bidang ini. Perusahaan banyak terdapat di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.
2.0 Sejarah Tenunan  Songket
            Kain songket berasal dari istilah sungkit dalam Bahasa Melayu . Menurut sejarah, penenunan songket secara sejarah dikaitkan dengan kawasan permukiman dan budaya Melayu dan teknik songket ini diperkenalkan oleh pedagang Arab dan India. Menurut hikayat rakyat Palembang, asal mula kain songket adalah dari perdagangan zaman dahulu di antara Tiongkok dan India. Orang Tionghoa menyediakan benang sutera sedangkan orang India menyumbang benang emas dan perak; maka, jadilah songket. Kain songket ditenun pada alat tenun bingkai Melayu. Pola-pola rumit diciptakan dengan memperkenalkan benang-benang emas atau perak ekstra dengan penggunaan sehelai jarum leper.  Namun begitu, tidak diketahui secara pasti dari mana asal songket, menurut tradisi Kelantan teknik tenun seperti ini berasal dari utara, yakni kawasan Kamboja dan Siam, yang kemudian berkembang ke selatan di Pattani dan akhirnya mencapai Kelantan dan Terengganu. Namun begitu,menurut penenun Terengganu,  pedagang Indialah yang pertama  memperkenalkan teknik menenun ini  di Palembang dan Jambi, yang mungkin telah berlaku sejak zaman Sriwijaya.
            Kain Songket adalah hasil daripada tenunan benang sutera atau kapas yang ditenun bersama-sama dengan benang emas atau perak. Ia telah terkenal di Malaysia sejak abad ke 15 yang lampau. Perkataan songket berasal daripada perkataan sungkit iaitu teknik menyungkit. Industri tenunan songket ini telah berkembang pesat terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur seperti di Terengganu dan Kelantan. Bunga atau hiasan di kepala kain di tenun mengikut citarasa penenun. Corak atau ragam hias tersebut dikenali dengan nama-nama seperti tapak manggis, pucuk rebung, lawi ayam dan sebagainya. Tenunan songket ini dilakukan sebagai industri kecil, yang mana kemahiran seseorang penenun itu mengambil masa selama enam minggu untuk menghasilkan sehelai kain songket yang panjangnya di antara 20 hingga 40 meter. Sesuatu yang mengkagumkan tentang seseorang penenun mahir ialah, dia tidak melakar corak songket di atas kertas sebelum kerja-kerja menenun dilakukan sebaliknya ia tercetus daripada daya kreativiti dan imaginasi yang tinggi lagi unik.
3.0 Motif
Songket ini terbahagi kepada pelbagai jenis motif.  Ragamhias masih dipertahankan terutama dalam aspek pembahagian dan penempatan beberapa bentuk bahagian kain seperti kepala, kaki dan badan kain. Penyusunan motif pula terbahagi kepada dua susunan bunga penuh dan bunga tabur.Motif kain songket terdiri daripada dua unsur penting iaitu unsur alam dan tumbuhan.  Motif yang sering digunakan meliputi bentuk bunga, daun atau pucuk dan bahagian tampuk buah-buahan.Motif-motif rekacorak yang menghiasi kain songket kebanyakannya berasaskan bunga-bungaan. Dengan teknik menenun yang tersendiri, kesemua bentuk motif terhasil dalam corak geometric. Motif-motif pada kain songket disusun dengan susunan bunga penuh, bunga bertabur atau susunan bercorak. Motif pucuk rebung dan lawi ayam sering ditempatkan dikepala kain.  Manakala motif 'awan larat' pula dijadikan sebagai kaki kain (border design).

3.1 Susunan Motif Songket
1 ) Susunan Bunga penuh
-corak penuh bersulam juga dikenali songket cuban. Motif benang emas dan perak ditenun memenuhi keseluruhan kain.
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjyVtjY3Oy4wJJVyEvpj4PdBKFIuf2yda5l2hALha4XoLR4LLwCjsBWV-DJWugoNW5MQ431wZsqrpkjDZTchU4_6XJLt-HNfPhChEQWdd8K9ZXyYE7mKMLwk7ZjzpN_XWHmb8T4xbHr4HGH/s320/st_05_4.jpg
2 ) Susunan bunga tabur
-corak ditenun secara bertaburan dan tidak terikat atau berangkai antara satu sama lain. Motif bunga yang ditenun ialah bunga tanjung, bunga buah cermai, bunga buah kesemak dan lain-lain. Taburan pada kain songket juga dilengkapi dengan garisan corak di kepala dan kaki kain.
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhOEd9v-dIjq09CTQR-SJhiSdU5I_pzUreCQrn2-E9AI5-TNo-kYbSjhBeaD6jeNpc4gsCaNGDqP0HWamcBwyBKIiaeAG2KJuHWnvVu38_v5-PlsxoybFxkW51RifWpjoyR13Z5Tg4a-sj1/s320/269395403.jpg

3) Susunan bercorak
-susunan motif dibuat secara jaluran berdiri atau melintang.
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg_4a4KirAAw-y_ljrUkXC7BzwtNB-kCezIg5Ln6D-H3sHD_rwhjr6be4kcI48jgWOhsvHr2JDBBWk8qrBgDryMR2BtqSh9-E7xhARlUv6ozGfuJPdIrEaa_r1kFTRyd0hsJZ05jNJw_gLz/s320/songket%2520bunga%2520anggun%2520sari%2520istana%2520Unggu.jpg



4.0  Proses tenunan songket     
Bahan dan alat
- Benang dan pewarna ialah bahannya. Alatnya pula terdiri daripada kek tenunan, kek mengarat, rahak, peleting buluh (bobbin), lidi daun kelapa, papan gulung, anak kayu, dua belira, sikat dan jentera, jarum culik, batang anak kayu, kayu karat, benang losen, lidi nibung atau buluh, benang batang bunga songket, darwin pakan, darwin benang emas, cuban, torak pakan, torak benang emas dan sumbi.
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgVQrC3OLFzfzd7yQQ6-3_8DD0UAkNazRcASeZUs5QL094vMm8Xyu2KroViGzXO5gra8jEmPxXs1B3qo0qsOwJcKAWLNBJyPs9P1Ka50-8_qNReDaz8hoF4cUD1E3sLZNdnca2AmlERjQlr/s320/tenun1.jpg                  http://t2.gstatic.com/images?q=tbn:ANd9GcQ9ul_k2VHIR27PmgSfiKrFZX9PHHBSKgG-CF0x_CeNr0MYTUOsjA
                        Kek tenun                                                           Alat tenunan songket         


Teknik dan proses
Setelah benang dibersihkan dan dimasukkan ke dalam pencelup warna, ia dibilas dengan air dan dijemur hingga kering.  Lapan proses lagi yang terlibat sebelum sesuatu tenunan boleh disiapkan ialah melerai, menganing, menggulung, meyampuk, menghubung, mengarak, menyolek dan menenun.
1. Melerai
-          Benang yang telah kering dimasukkan ke dalam sejenis alat yang bernama rahak untuk diputarkan pada satu alat yang bernama peleting. Proses ini dipanggil melerai. Terdapat dua jenis rahak, iaitu darwin pakan dan darwin emas. Darwin pakan digunakan untuk benang pakan sahaja. Ia diperbuat daripada buluh dan tali atau rotan. Darwin emas pula digunakan untuk benang emas sahaja dan diperbuat daripada kayu atau dawai kerana benang emas kasar dan berat.

2. Menganing
-          Benang yang telah menjalani proses melerai dimasukkan ke dalam alat menganing untuk menentukan ukuran panjang benang yang hendak dimuatkan pada alat ini. Biasanya segulung benang pakan atau seloseng yang berukuran 26-31m boleh menghasil 12-14 helai kain.
3. Menggulung
-          Benang yang telah dianing akan digulung pada papan gulung mengikut lebar gigi jentera dan panjang losen pada papan gulung yang hendak dipasung. Losen ialah benang yang memanjang pada kek. Kedudukan benang perlu diperiksa setiap tiga kali menggulung untuk memastikan susunan kemas.
4. Menyampuk
-          Menyampuk ialah proses memasukkan benang losen ke dalam gigi jentera atau sikat. Biasanya, proses ini dilakukan di dalam kek mengarak supaya senang untuk menyampuk benang kepada jentera.  Setiap lubang sikat disusukan dua urat benang losen. Pada kedua belah hujung sikat itu disusukkan empat urat benang supaya tepi kain tidak terkoyak apabila disangkutkan pada kayu sumbi kain. Sumbi kain ialah sebatang anak kayu yang mempunyai paku di kedua-dua belah hujungnya Sumbi kain menjaga tepi kain tenun supaya sama jarak dan tidak berkedut.
5. Menghubung
-          Menghubung ialah proses menyambungkan benang daripada losen kepada benang yang tertinggal pada jentera.  Cara ikatannya dipanggil ubung tindas. Proses ini bertujuan menyambungkan benang losen untuk menenun. Meja kecil dinamakan meja hidangan berukuran 10 cm panjang, 8 cm lebar dan 20 cm digunakan untuk menghubung.
6. Mengarak
-          Kerja mengarak dilakukan setelah selesai proses menyampuk.  Mengarak dilakukan dengan melilit benang asing atau benang karat kepada kayu karat, termasuk benang losen.  Jumlah karat yang digunakan biasanya hanya dua karat dan setiap karat mempunyai empat batang anak kayu.
7. Menyolek
-          Kerja menyolek bunga merupakan kerja yang paling rumit dalam proses menenun kain songket.  Cara menyolek reka corak adalah dengan menyusulkan lidi-lidi buluh pada benang losen yang dikehendaki.  Biasanya kain songketn ditenun dengan teknik tekat tiga atau tekat lima. Jika menggunakan tekat lima, setiap lima unit benang losen, satu benang alas ditolak ke bawah dan benang-benang alas ini di sengkang pula dengan belira.  Setelah benang losen berada di atas, barulah boleh menyolek dalam pelbagai corak pada benang losen dengan menggunakan lidi buluh.  Belira dimasukkan pada setiap lidi buluh tadi mengikut giliran.  Belira ditegakkan untuk menyenangkan ikatan benang butang.  Butang-butang inilah yang akan menjadikan corak atau motif bunga di atas songket.  Apabila selesai proses menyongket, benang losen bersama karat-karatnya ditukar ke kek tenun untuk ditenun agar menjadi kain songket.
8. Menenun
-          Menenun adalah proses terakhir, iaitu benang losen dipangkah oleh benang pakan untuk dijadikan kain.  Bagi kain songket bercorak penuh, benang emas dilayarkan melalui torak benang emas untuk menghasilkan sulaman motif bunga atau hiasan reka corak penuh. Bagi kain songket corak melintang atau corak bunga bertabur, benang emas dilayarkan melalui cubaan untuk mendapatkan motif-motif yang dikehendaki.  Lazimnya selepas satu benang emas dilayarkan, ia dikepuh (beat) dan diikuti pula dengan melayarkan dua benang pakan. Penenun akan menukarkan benang butang mengikut giliran dan corak yang telah ditentukan.  Proses ini diulangi sehingga menghasilkan sehelai kain songket.





4.0 Bibliografi
Warisan Budaya Malaysia. Diperolehi pada Februari 27,2011 daripada http://malaysiana.pnm.my/04/0408songket.htm

Tenunan. Diperolehi pada Februari 28,2011 daripada http://www.scribd.com/doc/35122937/Tenunan

Tenunan songket. Diperolehi pada Februari 28,2011 daripada http://senivisual1.blogspot.com/2009/10/tenunan-songket.html











No comments:

Post a Comment